Wednesday, 28 January 2009

Tanah yang ku pijak ini......

- Awal pagi Rabu kelihatan matahari menyinari bandar Muscat, walau pun demikian cuaca tetap sejuk, kelihatan langit cerah dan berwarna kebiru-biruan. Lega rasanya apabila memandang alam sekeliling kembali seperti biasa, ketika sebelum berlakunya hujan secara mendadak.
- Rasa dapat bernafas lega semula, segar..., menghirup angin bertiup lembut dan menyenangkan. Sesekali ingin rasanya berjemur di bawah panas matahari setelah hampir dua bulan menghadapi cuaca sejuk dan hujan.
- Macam mana sejuk dan hujan pun masih juga kelihatan ribuan manusia berpusu-pusu memenuhi kawasan-kawasan festival. Mereka membalut tubuh dengan baju tebal, berjubah dsb. untuk menghalang cuaca sejuk mengigit kulit indah mereka (khusus kaum wanita/kanak-kanak).
- Bunga-bunga musim sejuk yang ditanam di tepi-tepi jalan raya dan kawasan 'round about' tetap segar mekar menghiasi persekitaran bandar dan halaman. Sesekali bau harum bunganya menerpa hidung para pejalan kaki. Alangkah wanginya bunga itu!
- Kedamaian di negara ini sering mengingatkan kita terhadap suasana damai di negara sendiri. Cuma, faktor fizikal bumi dan iklim sahaja yang sangat membezakan kedua negara . Negara ini yang berbukit bukau dan dipenuhi padang pasir dan gurun serta wadi, manakala di negara sendiri pula di penuhi dengan flora dan fauna yang hijau menyegarkan dan menyejukkan mata memandang, khususnya apabila melihat keluar jendela setiap kali bangun pagi untuk bertugas. Di samping Iklim yang sangat panas dan sangat sejuk juga merupakan jurang perbezaan yang sangat ketara , dengan cuaca di negara sendiri yang sentiasa panas, hujan dan lembap.

Ah, dimana-mana pun bumi Allah ini sama sahaja, asalkan kita sebagai hamba Nya pandai menyesuaikan diri. Bak kata pepatah...di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

No comments: